Sunday 3 October 2010

MATAHARI dan MALAM

92. Al-Lail


1. Demi malam apabila ia menyelubungi segala dengan gelap-gelitanya. Dan siangnya apabila ia terang benderang.

2. Demi Yang menciptakan makhlukNya lelaki perempuan, jantan dan betina, sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai keadaannya. Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan ia bertaqwa mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik. Hasinya, Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan Syurga.

3. Sebaliknya, orang yang bakhil dari berbuat kebajikan dan ia merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya. Serta ia mendustakan perkara yang baik. Bagi mereka ini, Kami akan memberinya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan.

4. Bagi mereka ini, apakah pertolongan yang dapat diberi kepadanya oleh hartanya apabila ia terjerumus ke dalam azab seksa hari akhirat?

5. Tanggungan Kamilah memberi hidayah petunjuk tentang yang benar dan yang salah. Dan Kamilah yang menguasai hari akhirat dan alam dunia.

6. Serentak dengan memberi hidayah petunjuk itu, Aku juga memberi amaran mengingatkan kamu akan api neraka yang marak menjulang. Yang tidak akan menderita bakarannya melainkan orang yang sungguh celaka, yang mendustakan kebenaran dan mereka berpaling ingkar.

7. Sebaliknya, akan dijauhkan azab neraka itu daripada orang yang bertaqwa, yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan hartabendanya. Sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut di balas. Dia hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi.

8. Dan ia tetap akan berpuas hati pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkannya.


Dengarlah bacaannya di sini:



92. Al-Lail

Tags: Al-Lail, Mekah


\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\



91. Asy-Syams




1. Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang. Demi bulan apabila ia mengiringinya. Demi siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata. Dan demi malam apabila ia menyelubunginya dengan gelap-gelitanya.

2 Demi langit dan yang dibinaNya dalam bentuk yang kuat kukuh melambangkan kekuasaanNya. Serta bumi dan Yang menghamparkanNya untuk kemudahan makhlukNya. Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya. Serta mengilhamkanNya untuk mengenal jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertaqwa.

3 Berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu, bertambah bersihnya dengan iman dan amal kebajikan.

4. Dan hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu, susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiatnya.

5. Ingatlah, kaum Thamud telah mendustakan Rasulnya dengan sebab perbuatan derhaka mereka yang melampaui batas. Ketika orang yang paling jahat di antara mereka menerima perintah dari mereka supaya membunuh unta yang menjadi mukjizat.

6. Berkatalah rasul mereka Nabi Soleh, kepada mereka: “Janganlah kamu ganggu unta betina dari Allah itu dan janganlah kamu menyekatnya daripada mendapat air minumnya supaya kamu tidak ditimpa azab!”

7. Setelah Nabi Soleh memberi amaran, mereka mendustakannya serta menyembelih unta itu. Oleh sebab dosa mereka itu, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Ia meratakan azab itu meliputi mereka sehingga punah-ranah semuanya.

8. Allah tidak hiraukan kesudanan mereka sedemikian, kerana itu adalah balasan yang adil.



Dengarlah bacaannya di sini:

Asy-Syams



Tags: Asy-Syams, Mekah