Tuesday 14 December 2010

SURAH AL BURUJ DAN AT TARIQ





Allah bersumpah dengan Langit yang mempunyai tempat peredaran bintang dan hari pembalasan yang dijanjikanNya dan makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta keadaan yang disaksikan;

Celakalah kaum yang menggali parit yang mengandungi api penuh dengan bahan bakaran. Mereka di laknat kerana mereka duduk di kelilingnya sambil melihat apa yang dilakukan kepada orang yang beriman.

Mereka marah dan menyeksakan orang yang beriman itu kerana orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji! Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi. Ingatlah, Allah sentiasa menyaksikan setiap sesuatu.

Sesungguhnya mereka yang menimpakan bencana untuk memesongkan manusia yang beriman, kemudian mereka ini tidak bertaubat, maka mereka akan diazabkan dengan neraka Jahannam kerana perbuatan buruk mereka itu. Mereka akan beroleh azab api yang kuat membakar kerana tidak bertaubat. Azab Tuhan terhadap orang yang kufur ingkar itu amatlah berat.

Manakala orang yang beriman dan beramal soleh akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Ini merupakan kemenangan yang besar bagi mereka.

Allah lah yang menciptakan sekalian makhlukNya dan yang mengembalikannya hidup semula sesudah matinya mereka kelak. Dan Dia lah yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih.

Dia lah Tuhan yang mempunyai Arasy yang tinggi kemuliaannya dan Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendakinya.

Sudahkah kamu perhatikan kebinasaan yang telah menimpa kaum yang menentang Rasul utusan Allah kepada mereka? Mereka itu ialah kaum Firaun dan Thamud.

Kaummu pula, bukan sahaja menolak ajaran Muhammad, bahkan mereka yang kafir itu terus tenggelam dalam keadaan mendustakan kebenaran. Sedangkan Allah, dari belakang mereka, melingkungi mereka dengan kekuasaanNya.

Sebenarnya apa yang Nabi Muhammad s.a.w sampaikan kepada mereka itu bukanlah syair atau sihir, tetapi adalah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya, yang terpelihara dengan sebaiknya pada Lauh Mahfuz.



085 Surah Al-Buruj, Mekah



===================================================



086. Surah At-Tariq




Allah bersumpah dengan langit dan “At-Taariq”, bintang yang menembusi sinaran cahayanya itu.

Bahawa setiap manusia ada malaikat yang menjaga keadaannya serta menyimpan catitan mengenai segala bawaannya.

Setelah kamu mengetahui hal demikian, maka hendaklah kamu memikirkan dari apa kamu diciptakan. Kamu diciptakan dari air mani yang memancut ke dalam rahim, yang keluar dari “tulang sulbi” lelaki dan “tulang dada” perempuan.

Setelah menghidupkan manusia, maka Allah Maha Berkuasa untuk mengembalikannya hidup semula sesudah matinya. Pada hari kebangkitan semula manusia itu, akan didedahkan segala yang terpendam di hatinya dari iktiqad, niat, dan lainnya. Di saat itu manusia tiada sebarang kekuatan untuk membela diri dan pula tidak akan ada sebarang penolong yang dapat memberikan pertolongan kepadanya.

Demi langit yang berulang mencurahkan hujan dan bumi yang merekah mengeluarkan tumbuhan. Sesungguhnya keterangan Al-Quran adalah kata pemutus yang sebenarnya. Ianya bukanlah kata2 olok.

Mereka yang menentang Nabi Muhammad s.a.w. bermatian menjalankan rancangan jahat mereka. Tetapi Allah pula tetap bertindak membalas rancangan jahat mereka itu dan menggagalkannya.

Oleh itu janganlah engkau hendakkan segera kebinasaan orang kafir itu. Berilah tempoh kepada mereka sedikit masa.





Tags: At-Tariq, Mekah





No comments: