Wednesday 15 December 2010

SURAH AL-HAQQA

069. AL-HAQQA



Saat Kiamat itu tetap berlaku. Apakah sifat dan keadaannya?

Kaum Thamud dan Aad mendustakan hari kiamat yang menggempar dan mengharukan itu. Mereka diazab semasa di dunia juga. Kaum Thamud dibinasakan dengan petir yang sangat dahsyat. Kaum Aad pula dibinasakan dengan angin ribut yang sangat kencang menyerang mereka tujuh malam lapan hari berterusan. Kalaulah engkau menyaksikannya tentu engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati saperti batang pohon kurma yang tumbang dan lompang. Adakah engkau akan dapat sisa mereka yang masih hidup?

Selain dari mereka, kaum Firaun dan orang terdahulu, serta penduduk negeri yang telah ditunggang terbalikkan dibinasakan Allah kerana mereka melakukan perkara yang salah.

Iaitu mereka menderhaka Rasul yang diutuskan oleh Tuhan mereka. Lalu Allah menyeksa mereka dengan azabNya.

Ketika berlakunya banjir besar yang menenggelamkan gunung-ganang, Allah telah menyelamatkan nenek moyang kamu ke dalam bahtera Nabi Nuh. Ia melakukan yang sedemikian untuk dijadikannya sebagai satu pelajaran bagi kamu dan serta diambil ingat oleh orang yang mahu menerima pengajaran.

Ketahuilah bahawa apabila ditiup Sangkakala dengan sekali tiup dan bumi serta gunung-ganang akan dihancurkan dengan sekali hancur.

Pada saat itu berlakulah hari kiamat, terbelahlah langit menjadikannya reput dan runtuh.

Sedang malaikat ditempatkan mengawal segala penjurunya. Arasy Tuhanmu di saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat yang mengawal tadi.

Pada hari itu, manusia semuanya akan dihadapkan untuk hitungan amal. Tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi kepada Allah dari perkara kamu mahu sembunyikan.

Sesiapa yang menerima Kitab amal mereka dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata dengan sukacitanya: “Nah! Bacalah Kitab amalku ini! Aku yakin aku akan menghadapi hitungan amalku!”

Dengan itu, tinggalah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan di dalam Syurga yang tinggi darjatnya itu. Dengan buah2annya dekat untuk dipetik. Mereka dipersilakan menikmatinya sambil dikatakan: “Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya. Ini kerana amal soleh yang telah kamu kerjakan semasa kamu di dunia dulu!”

Adapun bagi orang yang menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata dengan sesalnya: “Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku. Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku. Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dulu adalah kematian pemutus yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi. Harta kekayaanku tidak dapat menolongku langsung. Kuasaku dan hujjahku membela diri telah binasa dan hilang lenyap dariku”.

Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka: “Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia. Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahiim. Selain dari itu, masukkanlah dia dalam lingkaran rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, dengan membelitkannya ke badannya! Sesungguhnya dia dahulunya tidak mahu beriman kepada Allah Yang Maha Besar. Juga ia tidak menggalakkan dirinya dan orang lain memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.

Maka pada hari ini, tidak ada baginya di sini sesiapa pun yang dapat menolongnya. Dan tidak ada makanan baginya melainkan dari air danur, yang tidak memakannya melainkan orang yang melakukan perkara yang salah”.

Allah bersumpah: “Demi segala yang nyata yang kamu melihatnya. Dan segala yang ghaib yang kamu tidak melihatnya. Sesungguhnya, Al-Quran itu ialah wahyu dari Kami yang disampaikan oleh Rasul yang mulia. Dan bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang penyair sebagaimana yang kamu dakwakan. Tetapi sayang! amatlah sedikit kamu beriman”.

Dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang sebagaimana kamu katakan. Tetapi sayang! amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.

Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.

Kalaulah Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu, mengatakan atas nama Kami secara dusta dengan kata rekaannya, sudah tentu Kami telah menyentapnya dengan kekuasaan Kami.

Kemudian, sesudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya supaya ia mati serta-merta. Maka tidak ada seorangpun di antara kamu yang dapat menghalang tindakan Kami itu daripada menimpanya.

Sesungguhnya Al-Quran itu tetap menjadi peringatan bagi orang yang bertaqwa. Kami sedia mengetahui bahawa ada di antara kamu yang mendustakan Al-Quran, dan Kami akan pasti membalasnya.

Dan sesungguhnya Al-Quran itu sudah tentu akan menyebabkan penyesalan bagi orang kafir semasa mereka menerima balasan nanti.

Al-Quran itu adalah kebenaran yang diyakini seyakinnya. Oleh itu bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar.



Al-Haqqa

No comments: